BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

jom bisik-bisik kat c ni !! wink 2x .... (^____-)

Terima Kasih Tuhan... (^_^)

Monday, February 9, 2009

sebaik-baik teman adalah hati


“Nasihat yang paling baik bukan nasihat yang boleh dicatat dalam buku sejarah tetapi nasihat yang boleh merubah anda”

Jika anda tanya diri sendiri anda tentu akan mendapat jawapannya. Tetapi jika anda bertanya secara lebih jujur anda tentu akan mendapat jawapan yang berbeza. Bertanya pada diri sendiri membangkitkan dua jawapan satu bersumberkan hati kecil dan satu lagi bersumberkan hati besar.
Hati besar akan berkata, “Ah, persetankanlah. Aku bukan baru setahun dua dalam bidang ni. Kalau aku kena pecat pun, aku boleh kerja di mana-mana saja. Setakat kerja di sini apa sangat.”

Jika hati kecil yang ditanya, jawapannya mungkin berbeza. “Alamak, kalaulah betul aku dipecat, memang boleh dapat kerja lain, tapi senangkah nak dapat? Umur dah lanjut, siapa nak ambil orang tua bekerja?”

Diri anda adalah sahabat anda yang paling baik. Tatkala semua orang menolak anda, hati kecil anda masih di situ. Dialah teman tatkala sunyi, tatkala kebinggungan, tatkala gagal mengawal marah, tatkala gembira, ceria mahupun bersedih.

Orang lain mungkin boleh memberikan nasihat yang terbaik, tetapi anda sendiri lebih tahu apakah nasihat yang paling baik. Terbaik bagi orang belum tentu terbaik bagi anda. Dalam soal ini anda hanya memerlukan teman bicara, dia adalah hati kecil anda sendiri.

Bertanyalah diri sendiri sebab ia sahabat paling setia. Tanyakanlah hati kecil supaya mendapat jawapan yang lebih jujur. Hati besar biasanya penuh dengan ego. Namun, bukan bermakna hati besar tidak berguna, di situlah letaknya booster motivasi. Tanpa ego seseorang lebih rela hidup daif konon takut riak, sombong dan takbur, padahal pemalas. Ego menolak manusia membuktikan sesuatu melangkaui batas keupayaan dia yang sebenar. Itu baik, itu perlu, itu penting.

Orang lain mungkin boleh menjadi sahabat kepada anda, tetapi ingat, diri anda sendiri adalah sahabat yang lebih memahami. Jurunasihat terbaik diri anda adalah diri anda sendiri, lantaran dia lebih memahami anda, dia lebih mengetahui kelebihan dan kekurangan anda. Orang lain mungkin boleh memberikan nasihat terbaik tetapi diri anda sendiri yang mengetahui sama ada nasihat-nasihat itu sebenar-benarnya baik untuk anda. Bukan semua nasihat yang baik itu dapat dilaksanakan, lantaran anda sahaja yang mengetahui apakah ia sesuai, tepat dan mampu anda gemblengkan tenaga ke arahnya.

Nasihat yang paling baik bukan nasihat yang boleh dicatat dalam buku sejarah tetapi nasihat yang boleh merubah anda. Ia mungkin mudah, tetapi cukup berkesan untuk anda. Ia mungkin nasihat-nasihat biasa, tetapi anda mampu melaksanakannya.

Buku bukan dinilai pada ilustrasi kulit tetapi apa yang terkandung di dalamnya. Manusia bukan dinilai pada wajah dan pakaian tetapi apa yang tersimpan di dalam hatinya. Kebijaksanaan dinilai pada tindakan bukan apa yang berlegar dalam fikiran.

Ramai orang menjadi gagal kerana terlalu mengikut rasa hati. Itu berbeza dari suara hati. Rasa hati kerap dibaur oleh rasa tidak puas, rasa tidak dipeduli, malah rasa sakit, sedangkan suara hati adalah teman berbual terutama tatkala anda rasa kesunyian. Suara hati selalunya lebih jujur dalam memperkatakan sesuatu. Apabila ia memberikan pandangan biasanya pandangan itu mengambil kira semua kekurangan dan kelebihan anda. Maka ia adalah sebaik-baik teman.

Suara hati adalah terbaik untuk menentukan hala tujuan. Sama ada yang besar atau yang kecil, kedua-duanya tetap teman. Anda boleh mendapatkan pandangan dan pendapat orang lain, namun bermuafakatlah dengan diri sendiri tatkala hendak menentukan arah tujuan.


Setiap insan mempunyai penghayatan berbeza tentang maksud cinta kali kedua. Tetapi ada juga yang tidak tahu bagaimana untuk mengenali cinta yang datang lagi itu. Hakikatnya, cinta kedua boleh memberi ruang kepada anda untuk mengenali seseorang yang ingin dicintai lagi dengan lebih teliti.

Saat putus cinta dahulu memanglah perit untuk ditelan terutama dalam menempuh cabaran untuk memulihkan hati yang terluka. Kala itu, hati berderai bak ombak menghempas pantai, sehingga tak terdaya melawan arus lautan yang ganas.

Ketika luka lama masih terasa pedih, ada insan lain cuba mencuri perhatian kamu untuk kali yang kedua, walaupun pada hakikatnya kamu belum bersedia menerima cinta baru di dalam hidup kamu.

Ikuti peraturan penting yang perlu dipatuhi saat kamu ingin bercinta lagi, agar diri kamu tidak teraniaya di dalam kancah percintaan. Jangan pula menyalahkan diri sendiri sekiranya kamu menerima cinta baru, walaupun dia lebih baik berbanding bekas kekasih yang dianggap hipokrit.

Dalam menjalin hubungan cinta kedua, jangan sesekali menyamakan dia dengan bekas kekasih yang telah memusnahkan kepercayaan kamu. Ingat, walaupun kamu tergila-gilakan teman baru, jangan terburu-buru menyerahkan seluruh hatimu kepadanya.

Oleh itu, sebelum menjalin hubungan baru, perhatikan beberapa kategori lelaki yang layak bertakhta di hatimu. Sekiranya tidak, lupakan sahaja hasrat kamu untuk menyintainya dan berhati-hatilah dalam memilih pasangan hidup. Berikut, perkara yang perlu kamu beri perhatian sebelum menerima cinta baru.

1. Teman hidup baru

* Cara mengenalinya:
Belum apa-apa lagi, dia sudah menceritakan tentang sikap curang kekasihnya dahulu dengan lelaki lain. Dia seolah-olah meminta simpati daripada kamu. Malah, dia mengatakan tidak sabar untuk mendengar cerita mengenai putusnya hubungan kamu dengan bekas kekasih. Sikap ini menunjukkan dia seorang yang pemarah.

* Mengapa dia menggoda:
Kamu berhadapan dengan musuh yang sama iaitu dia menyerupai bekas kekasihmu yang dulu. Dari segi sikap 'panas' si dia, itu akan membuatkan kamu berasa 'bersimpati' terhadapnya.

* Tinggalkan:
Teman baru kamu (yang juga baru putus hubungan) selalunya akan menyalahkan bekas kekasihnya. Dia tidak sesekali memberitahu keburukan dirinya kepada kamu, takut kamu menolak cintanya bulat-bulat. Kebiasaannya, dia adalah orang yang paling bermasalah dalam perhubungan dan belum bersedia untuk menjalin hubungan baru.

2. Sahabat dan bekas kekasih

* Cara mengenalinya:
Dia tidak tertarik mengenai perbicaraan lain kecuali membicarakan hal berkaitan bekas kekasihnya.

* Mengapa dia menggoda:
Sudah jelas terbukti dia inginkan kamu memberi kuasa peralihan atau tumpuan kepada dirinya.

* Hindari:
Tetap menjaga hubungan baik dengan sahabat, tentu tiada salahnya. Tetapi, apabila dia selalu berbicara mengenai bekas kekasihnya, seolah-olah tiada insan yang lebih sempurna berbanding kekasihnya dulu. Ini bererti, dia masih mencintai dan masih ingin kembali kepada kekasihnya yang dahulu. Tinggalkan sahaja dia.

3. Jenis berpengalaman

* Cara mengenalinya:

Dia seorang yang tertutup, memakai sepatu mahal, sentiasa ingin tampil rapi dan selalu menghindari perbincangan bersifat peribadi.

* Mengapa dia menggoda:
Seperti permainan tenis, jika kamu seorang pemain profesional berganding dengan pemain yang tidak pengalaman, kamu akan merasakan seolah-olah berada di peringkat baru hendak belajar. Demikianlah juga halnya dengan lelaki berpengalaman. Ini bermaksud, dia pandai membuatkan kamu berasa nyaman, relaks dan aman
.



Jauh di sudut hati, terasa betapa indah memujanya.

Namun siapa yang dapat merasakan cuitan hati jika tidak terluah dek kata-kata?

Yang menjadi masalah, mampukah ia terungkap jika orang yang diminati dan sering menjentik perasaan bukanlah orang lain sebaliknya sahabat baik sendiri?

Bertahun menjalin hubungan atas dasar sahabat sejati, rakan setia yang sanggup bersusah bersama dan bergembira di saat anda mahu meluah segala suka-duka, kini segalanya berubah.

Jantung bagai disentap apabila bertembung dengannya bahkan tiba-tiba membuatkan hati berdebar-debar dan jatuh cinta tanpa disedari apabila perasaan itu muncul di celah persahabatan yang dijalin.

Jika dulu, anda menganggap dirinya seorang sahabat sejati, sanggup berkongsi suka dan duka serta menjadi teman paling setia mendengar masalah, kini lain pula situasinya.

Sahabat yang selama ini dimahkotakan sebagai teman biasa kini bertukar menjadi kekasih istimewa.

Persoalannya, adakah hubungan akan berjalan dengan lancar jika bercinta dengan sahabat sendiri? Adakah dia juga merasakan hal yang sama seperti anda? Adakah anda harus menyatakan perasaan itu terhadapnya?

Apabila dilamun cinta dengan teman biasa, perlu diteliti semua aspek peribadinya sebelum sesuatu hubungan itu menjadi bertambah intim. Takut nanti, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

Kata orang, bercinta dengan sahabat sendiri akan mencetuskan kekangan dalam perhubungan. Sekiranya khuatir persahabatan itu akan berakhir dengan perasaan saling membenci, anda harus mempertimbangkan aspek pro dan kontranya.

Pro

* Anda harus menyukai seluruh peribadinya. Perlu juga tahu perubahan hatinya, perkara yang membahagiakannya jika menjalin hubungan cinta dengan anda dan perkara yang perlu dihindari.

* Anda sanggup menempuh suka dan duka bersama tidak kira apa juga rintangan yang dihadapi berbanding sewaktu menjalinkan hubungan persahabatan dulu.

* Anda mengenali ibu bapanya dan diterima baik oleh mereka. Yang pasti, anda seharusnya mempunyai nilai positif yang membawa ke arah kebahagiaan kedua-dua pihak.

Kontra

* Memandangkan anda berdua sudah mengenali perilaku masing-masing, tiada lagi hal yang boleh membuatkan anda perlu bertanya. Ia mungkin menimbulkan rasa bosan jika anda masih mahu melakukannya.

* Anda meminati karakternya ketika bergelar sahabat, tetapi tidak mustahil karakter itu boleh berubah setelah hubungan yang dibina bertukar menjadi kekasih.

* Sikap seperti cemburu dan syak wasangka melampau mungkin antara sikap yang tidak pernah anda sangka muncul pada si dia yang dulu hanya seorang teman biasa.

* Sebagai sahabat, hubungan anda berdua dilihat bertambah baik, tetapi ia berubah setelah menjadi teman istimewa. Anda akan kehilangan orang yang selalu menjadi pendengar yang baik. Siapa yang akan menjadi pendengar setia apabila dia yang menjadi topik pembicaraan anda?



Dari segi pro dan kontra yang disenaraikan, aspek kontra lebih berkemungkinan membawa anda ke arah kehancuran sebuah persahabatan yang begitu indah.

Anda berasa sudah mengenali hatinya dengan baik sebagai sahabat, tetapi sebagai kekasih segalanya berubah.

Terdapat juga risiko yang harus anda hadapi apabila berterus-terang mengenai perasaan.

Jangan luahkan perasaan ini kerana ia akan muncul sekiranya kamu cuba menahan dan menyembunyikannya.

Duduk dengan tenang, pertimbangkan aspek pro dan kontranya.

Jangan lupa, risiko yang mungkin terjadi. Anda tidak akan mengetahui sejauh manakah perasaannya terhadap anda sekiranya anda takut untuk cuba bertanya sendiri.

Apabila anda berdua berjaya mengungkap perasaan cinta itu, mungkin pada awalnya ia akan menimbulkan sedikit kejanggalan, tetapi kesudahannya, ia akan berakhir dengan kegembiraan.